SELAMAT HARI BAPA

Tak pernah merungut membesarkan sembilan anak. Tulang empat keratnya sentiasa dikerah bagi memastikan anak-anak mendapat makan minum, tempat tinggal selesa dan pendidikan yang secukupnya.

Paling cepat suruh anak-anak makan bila hidangan dah tersedia. Orang yang paling akhir makan bila semua anak-anak dah selesai makan.

Pernah sekali saya intai abah kat dapur bukak tudung saji selepas semua anak-anak dah makan. Tinggal sisa je. Itu la yang abah suap dalam mulut. Takde mengadu pun tak cukup.

Esok paginya tetap gagah mencari rezeki. Pagi menoreh, petang jaga lembu atau ambik upah buat rumah, malam ke masjid.

Sakit demam sekali pun, abah tak pernah mengadu pada anak-anak. Makan ubat, lepas tu berselubung sampai berpeluh. Dah segar, abah bangun dan sambung bekerja.

Alhamdulillah, Allah sentiasa dilimpahkan abah dengan macam-macam bentuk rezeki.

Sembilan anak dibesarkan dan masing-masing ada kerjaya. Giliran kami pulak nak abah rehat. Abah cakap je nak apa, insya Allah anak-anak boleh bagi.

Tapi abah tetap tak boleh duduk diam. Ada je kerja nak dibuat. Puas dah pujuk abah suruh rehat. Takpe lah. Asalkan abah hepi dan tak lagi buat kerja-kerja berat macam dulu.

1 Syawal hari tu, abah umum letakkan jawatan sebagai bilal masjid selepas sekian lama menabur bakti. Lega kami mendengarnya.

Abah selalu pesan, Allah dah bagi kita tubuh yang sihat. Gunalah untuk cari rezeki. Biar sikit. Tapi berkat. Sesibuk mana pun kita, solat jangan tinggal. Ada rezeki lebih, bersedekah lah..

Kata-kata paling terkesan saat saya alami kesukaran dulu, “..mulut orang ni boleh cakap apa saja yang dia orang suka. Kita tak boleh nak tutup. Buat je apa kita suka selagi betul dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Jangan peduli apa orang lain nak kata..”

Pagi raya hari tu, abah peluk saya dengan erat dan ucap terima kasih. Sepatutnya saya yang ucap terima kasih kat abah. Tapi dah terbalik pulak.

Jujurnya, takde sorang pun daripada kami sembilan beradik yang boleh tandingi kehebatan abah.

SELAMAT HARI BAPA buat Hj Sarponen bin Hj Ikchan. I LOVE YOU SO MUCH..