HARI PERTAMA 2021

Assalamualaikum, selamat sejahtera.

Alhamdulillah, hari pertama masuk tahun baharu 2021 yang jatuh pada hari Jumaat diharap dapat memberi keberkatan kepada kita untuk meneruskan perjuangan hidup di muka bumi ini.

Jika pada tahun 2020, isu politik, keselamatan, kesihatan dan ekonomi menjadi isu besar. Diharap pada tahun ini keadaan akan berubah. Cukuplah dah banyak jiwa yang sengsara.

Namun, sebagai manusia biasa, sehebat mana pun kita, tetap tak mampu nak kawal semua perkara. Cakap memang nampak mudah, nak melaksanakan tanpa ada halangan itu payah.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita pada hari esok, lusa, akan datang?

Adakah kita sentiasa merasakan terdapat perubahan dalam hidup kita pada hari ini berbanding hari semalam?

Perubahan yang bagaimana? Adakah bertambah baik atau sebaliknya?

Setiap orang inginkan perubahan hidup ke arah yang lebih baik. Itu bermakna kita mempunyai matlamat hidup yang jelas. Kita tahu apa yang ingin dicapai pada hari ini, esok, minggu depan, bulan depan dan seterusnya.

Tapi jika kita mudah rasa selesa dengan setakat apa yang kita telah ada pada hari ini, pasti tiada apa yang perlu kita buat lagi. Namun, jika kita rasa ada yang kurang, kita akan buat sesuatu untuk upgrade kehidupan ini atau demi ‘sesuatu’.

Ramai orang memasang azam baharu setiap kali tahun baharu. Biarlah azam yang sama, tak ada yang salah pun tentang azam tu. Asalkan kita tahu apa yang kita nak capai, bagaimana cara kita nak capai.

Hidup mesti diteruskan. Kesedihan harus dilupakan. Tak perlu tangisi hidup yang dirundung masalah. Masalah bukan untuk ditangisi tapi untuk diatasi.

Marilah kita memanjatkan doa kepada Allah di hari Jumaat yang penuh barokah.

Semoga setiap perkara baik yang kita doakan akan didengar yang Maha Esa, diperkenankan, dimakbulkan, dipermudahkan segala urusan kita yang baik-baik. Semoga kita akan sentiasa berasa bersyukur walau sekecil mana rezeki yang kita peroleh. Semoga kita akan sentiasa mendapat keberkatan dalam setiap tugas harian yang kita laksanakan. Semoga terus diberi kesihatan agar dengan kudrat ini kita dapat berbakti kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Amin..amiin.. Ya Rabbal Alamiin..

Insya Allah.